Kenapa Saya Gagal Ujian Psikometrik SPA?

"Saya dah cuba sehabis baik jawab ujian psikometrik, saya dah jawab positif... Tapi kenapa saya masih gagal ujian psikometrik SPA?"

Anda sudah mencuba sehabis baik ketika menjawab soalan ujian psikometrik. Tetapi apabila keputusan ujian psikometrik diumumkan, anda tidak berjaya dalam ujian psikometrik untuk jawatan yang dimohon.

Kenapa anda gagal Ujian Psikometrik SPA?

Fahami Punca Gagal Ujian Psikometrik

Sebelum anda fikir yang negatif atau salahkan diri sendiri, mula-mula sekali anda perlu faham yang Ujian Psikometrik SPA tidak mempunyai jawapan betul atau jawapan salah.

Sebab apa begitu?

Kerana jawapan adalah bergantung sepenuhnya kepada ciri-ciri individu.

Ujian Psikometrik adalah alat yang digunakan oleh SPA untuk menilai calon dengan tujuan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka dalam pelbagai aspek yang relevan dengan tugas-tugas dalam perkhidmatan awam.

Jadi apabila anda tidak berjaya dalam ujian psikometrik SPA, besar kemungkinan ia disebabkan oleh:

Anda Tidak Memenuhi Keperluan Jawatan

Setiap organisasi mempunyai profil ideal untuk setiap jawatan. Ini merangkumi ciri-ciri personaliti, kemahiran dan nilai-nilai tertentu. Ini membolehkan mereka mencapai:

  • Keserasian kerja (job-fit)
  • Keserasian pasukan (team-fit)
  • Keserasian organisasi (organisation-fit)

Calon harus memiliki kualiti yang diperlukan untuk melaksanakan tugas dengan berkesan, mampu bekerjasama dan melengkapi ahli pasukan sedia ada dan juga memenuhi nilai, budaya dan matlamat organisasi.

Anda boleh menjawab ujian psikometrik dengan jawapan yang sama untuk dua jawatan yang berbeza.

Keputusannya nanti...

Anda mungkin berjaya untuk satu jawatan tetapi gagal untuk satu jawatan lagi. Mungkin juga anda berjaya untuk kedua-dua jawatan. Atau mungkin anda gagal untuk kedua-dua jawatan.

Dengan ujian psikometrik, SPA dapat mengumpulkan data-data berkaitan ciri-ciri personaliti, kemahiran dan kecenderungan calon. Data-data ini kemudiannya dianalisis untuk menilai kesesuaian mereka dengan jawatan.

Jadi, apabila anda berjaya dalam Ujian Psikometrik SPA, ini bermakna anda memenuhi keperluan jawatan dan profil psikometrik anda serasi serta sesuai dengan jawatan tersebut.

Kenapa Kesesuaian Jawatan Penting?

Bayangkan situasi di mana anda adalah seorang introvert yang lebih selesa bekerja sendiri dan kurang gemar interaksi sosial yang kerap.

Namun anda memohon jawatan sebagai seorang jururawat yang mana tugas hariannya memerlukan komunikasi dengan pesakit, keluarga mereka dan rakan sekerja dalam persekitaran yang sentiasa berubah dan mencabar emosi.

Seorang introvert juga boleh menjadi jururawat.

Tetapi mereka akan mengalami keletihan emosi yang lebih tinggi berbanding mereka yang extrovert. Persekitaran yang sibuk dan situasi kecemasan boleh menjadi lebih mencabar untuk seorang introvert.

Apabila seseorang diberikan jawatan yang tidak sesuai, potensi diri mereka tidak dapat digunakan sepenuhnya dan boleh mengurangkan produktiviti kumpulan secara keseluruhan.

Ketidaksesuaian ini akhirnya akan merugikan semua pihak.

Selain tidak memenuhi keperluan jawatan.

Mungkin...

Anda Tidak Menjawab Soalan Dengan Konsisten

Dalam ujian psikometrik, soalan yang mempunyai maksud yang sama akan diulang dalam beberapa bentuk soalan yang berbeza bagi memastikan penilaian adalah tepat.

Apabila anda gagal memberikan jawapan yang konsisten, boleh jadi anda cuma keliru ataupun kurang faham dengan soalan.

Tetapi lebih teruk lagi...

Jawapan yang tidak konsisten juga boleh memberi isyarat yang anda tidak jujur dalam menjawab soalan. Anda mungkin cuba untuk memberikan jawapan yang dianggap "betul".

Bukannya jawapan yang benar-benar mencerminkan personaliti anda.

Dan akhir sekali...

Ada Ramai Calon Yang Lebih Baik

Persaingan untuk masuk ke perkhidmatan awam sangat sengit. Jumlah calon yang memohon melalui SPA9 sangat ramai dan kekosongan jawatan pula amat terhad. Untuk setiap kekosongan:

  • Nisbah calon dipanggil untuk ujian adalah 1:20
  • Nisbah calon dipanggil untuk temuduga adalah 1:15

Anda mungkin memenuhi ciri-ciri individu yang diperlukan untuk jawatan. Anda mungkin menjawab soalan ujian psikometrik dengan konsisten dan jujur. Tetapi untuk jawatan yang anda mohon itu, terdapat ramai calon lain yang lebih baik dari anda.

Lantaran itu jawatan tersebut diberikan kepada calon yang terbaik.

Akhir Kata

Jujur adalah kunci dalam menjawab ujian psikometrik. Jawab dengan ikhlas untuk menggambarkan diri anda yang sebenar. Ini dapat memastikan jawapan anda konsisten dan memberikan gambaran yang tepat tentang diri anda.

Jika belum berjaya, latih diri anda dengan menjawab banyak soalan psikometrik untuk membiasakan diri dengan format ujian psikometrik.

Dengan kesungguhan dan persediaan yang betul, peluang kejayaan akan terbuka luas.

Insyaallah.